Koleksi


Mas kahwin untuk miliki keris lama

Monday, January 24, 2011




MEMILIKI keris lama sama ada diwarisi secara turun-temurun atau pindah hak milik masih diamalkan di negara ini sebagai salah satu adat masyarakat Melayu.

Bagi peminat dan pengumpul keris lama yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, Dzafar Hanafi, disebabkan sukar mencari tukang yang boleh menempa keris, dia lebih suka membeli senjata berkenaan yang dijual di negara ini dan beberapa negara jiran.

Dzafar yang merupakan pengurus syarikat Pusaka Purba Trading memberitahu, dalam urusan jual beli keris lama, dia lebih mementingkan sifat jujur serta mengelak sebarang perkara karut.

Terangnya, jika seseorang menginginkan keris untuk kegunaan diri sendiri, senjata berkenaan mesti mempunyai padanan yang sama dengan pemilik baru itu.

Menurut Dzafar yang berkecimpung dengan senjata lama terutama keris sejak berusia 15 tahun, padanan itu bagi mengelak pemilik baru mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan keris tertentu kerana setiap buatannya diserasikan dengan orang tertentu.

Rahsia

“Keris lama dibuat berdasarkan kesesuaian kejadian yang ada pada diri kita. Ada orang jenis panas baran dan ada juga jenis sabar.

“Sebagai contoh seseorang yang panas baran, dia tak boleh pakai keris yang dibuat menggunakan material panas. Ia perlu seimbang,” katanya kepada Jurnal.

Jelasnya yang kini berusia 34 tahun, antara pantang larang dan adat dalam urusan jual-beli senjata lama adalah mengelak unsur penipuan serta memiliki barang curi.

Terangnya, jika seseorang terlibat dengan perkara yang tidak baik, individu terbabit akan mendapat susah kerana besi itu mempunyai pelengkap dan rahsia.

“Orang sekarang hanya mengatakan sesuatu upacara itu hanyalah adat orang terdahulu dan warisan tanpa mendengar cerita daripada orang tua-tua mengenai sesuatu upacara dilakukan.

“Sebagai contoh, orang dahulu memandikan keris atau mencucinya menggunakan bunga, limau dan kemenyan sebagai pewangi kerana ketika itu tiada sabun, bukan disebabkan upacara karut,” katanya.

Dia yang menghasilkan tesis mengenai keris semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, penukaran hak milik atau proses membeli keris dengannya agak berbeza.

Sebelum menjual sesuatu keris, Dzafar akan meminta nama pembeli bersama nama ibunya dan diikuti solat hajat.

Terangnya lagi, tujuan solat hajat adalah agar perkara yang dilakukan itu tidak mendahului Allah yang boleh menyebabkan kita lalai.

Tambahnya, pembeli juga dikehendaki membayar ‘mas kahwin’ yang sesuai sebagai syarat pertukaran hak milik keris itu.

“Saya bukan mahu mengaut kekayaan, tetapi apabila kita memberitahu perkara itu ramai juga yang marah sebab penjual lain tidak buat begitu.

“Sebenarnya, urusan duit itu nombor dua. Yang pentingnya saya seperti seorang pemegang amanah dan sebagai orang tengah bagi menyampaikan keris itu kepada orang yang berhak,” ujarnya.

Menurutnya, keris lama berbeza daripada keris yang dibuat sekarang kerana orang tertentu boleh merasai getaran dan haba yang ada pada keris berkenaan.


Rebutan Malah, bukan semua orang mampu menyimpan keris pusaka kerana ada juga kes pemilik mendakwa almari tempat simpanan keris mereka sering bergegar malah ada juga yang mengalami demam.

Dalam pada itu, Dzafar yang mempunyai beratus koleksi keris lama memberitahu, antara koleksi istimewa dalam simpanannya adalah keris tujuh beradik, lima beradik dan tiga beradik dengan saiz yang kecil.

Malah ujarnya, daripada koleksi tersebut, keris Emas Lok Lapan Akut Terbalik yang merupakan anak keris bagi sebilah keris dinamakan Keris Kijang Emas Kijang Utara Kijang Putih Kijang Bongsu dianggap istimewa kerana menjadi rebutan ramai.

Jelasnya, keris emas itu merupakan warisan turun-temurun yang berasal dari Kelantan. Bagi menambahkan kekuatannya, seketul besi khas ditempa di bahagian bilahnya.

Ujarnya, senjata kecil tersebut merupakan keris pakaian bertujuan sebagai pendinding bagi mengelak disihir dan sebagainya.

“Di tubuh kita ini sekurang-kurangnya mesti ada besi sebagai pendinding. Kita nak bawa keris yang besar khuatir polis tangkap pula.

“Namun, setiap tujuan itu perlulah ‘dilapik’ dengan al-Quran dengan anggapan setiap benda itu hanyalah perantara kerana segalanya datangnya daripada Allah,” katanya.

Sumber

1 comments:

rozle said...

salam,
bagaimana boleh saya hubungi Tuan Dzafar Hanafi. No saya 016-3350321 or e-mail ollie_lie@yahoo.com

Post a Comment