Koleksi


Aqidah Ahli Sunnah

Thursday, January 7, 2010
Kebelakangan ini, pengajian tauhid berasaskan sifat 20 yang diperkenalkan oleh Imam Abu Hassan Ashaari menimbulkan banyak kontroversi.

Ada pihak yang tidak bersetuju dengan sifat 20 ini. Mereka kata sifat Tuhan bukan 20 sahaja. Lagipun penyusunan sifat Tuhan seperti sifat 20 ini adalah satu perkara bidaah. Rasul pun tak pernah ajar tauhid macam itu. Mereka kata segala sifat Tuhan terkandung di dalam Al Quran. Untuk mengetahui sifat-sifat Tuhan, ayat-ayat yang memperkatakan tentang sifat-sifat Tuhan itu patut dibaca dan dijadikan panduan. Ianya lebih dari 20.

Ada pula pihak yang berpendapat bahawa mempelajari tauhid melalui sifat 20 ini paling baik hanya boleh membuatkan seseorang itu tahu tentang sebahagian daripada sifat-sifat yang wajib bagi Tuhan. Mungkin kalau didalami lagi dapat juga tahu 20 sifat yang mustahil bagi Tuhan dan satu sifat yang harus bagi-Nya. Namun ia hanya setakat tahu. Setakat boleh menjadi orang yang ’alim billah iaitu orang yang alim atau yang ada ilmu tentang Allah dan tidak lebih dari itu.

Mereka berkata bahawa sifat 20 ini tidak mampu membawa kepada penghayatan dan penjiwaan. Oleh itu sifat-sifat Tuhan itu tidak dapat dihayati atau dijiwai dan tidak dapat dirasakan di hati. Mereka mengatakan sifat 20 ini tidak mampu membawa manusia supaya merasa bertauhid atau membuatkan manusia berjiwa tauhid. Ia hanya mampu setakat membuatkan manusia itu berfikiran tauhid.

Orang yang berfikiran tauhid ini mungkin tauhidnya sah di sisi agama. Tapi tauhidnya hanya di fikiran, belum di hati. Dia hanya tahu Tuhan tapi tidak kenal dan tidak dapat rasa bertuhan. Justeru itu, dia tidak ada kekuatan untuk bermujahadah, memperbaiki diri dan membersihkan hati. Dia selalu lupa dan alpa tentang Tuhan.

Berbeza dengan orang yang sudah menghayati tauhid atau orang yang berjiwa tauhid. Mereka ini sentiasa rasa bertuhan. Mereka sentiasa merasakan Allah itu wujud, melihat, mendengar dan mengetahui tentang hal mereka zahir dan batin, yang nyata dan yang tersembunyi. Mereka sentiasa merasakan kehebatan, kekuasaan, keagungan dan perkasanya Tuhan. Allah tidak lekang dari hati-hati mereka. Mereka ini digelar orang-orang yang ‘arif billah iaitu orang-orang yang betul-betul kenal Allah dengan hati dan perasaan mereka.

Sebenarnya, kalau kita teliti apa yang diperkatakan oleh kedua-dua pihak ini, memang ada kebenarannya. Namun kita tidak boleh membuat pertimbangan tentang betul atau salah, berkesan atau tidak berkesan pengajian tauhid melalui sifat 20 ini tanpa kita melihat dan mengambil kira keadaan yang wujud di zaman Imam Abu Hassan Ashaari. Bukan Imam Abu Hassan Ashaari tidak mampu mengenengahkan bentuk ilmu tauhid yang lebih berkesan dan mendalam dari sifat 20 itu tetapi dia tertakluk kepada suasana dan keadaan di zamannya dan dia perlu menyesuaikan pendekatannya dengan suasana dan keadaan yang wujud di zamannya itu.

Imam Abu Hassan Ashaari adalah seorang mujaddid (orang yang memperbaharui agama atau reformis). Masalah utama yang dihadapi di zamannya ialah masalah kerosakan aqidah umat Islam. Aqidah umat Islam ketika itu rata-rata telah dilanda, dirosakkan dan diselewengkan oleh berbagai-bagai unsur dan fahaman yang wujud di waktu itu termasuklah fahaman Jabariah, Qadariah dan berbagai-bagai lagi fahaman yang dibawa oleh puak Muktazilah yang banyak bersandarkan kepada hujah akal. Ia sudah sampai ke tahap krisis yang besar dan umat Islam ketika itu berhadapan dengan wabak kerosakan dan penyelewengan aqidah yang berleluasa. Di waktu itu, soal penghayatan aqidah sudah menjadi perkara kecil dan orang yang mahu terlibat dengan usaha penghayatan aqidah ini tidaklah ramai. Soal utama ketika itu ialah memelihara dan menyelamatkan aqidah orang ramai dan masyarakat umum supaya tidak tergelincir dan tidak dipengaruhi oleh fahaman-fahaman Muktazilah yang sesat. Inilah yang menjadi soal pokok dan soal utama di waktu itu yang mengatasi segala soal dan masalah yang lain. Inilah senario yang menjadi sebab munculnya sifat 20 ini.

Justeru itu kita lihat, sifat 20 ini, susunannya sungguh rapi, ringkas, mudah difaham, mantap dan walaupun hanya 20 sifat Tuhan yang diketengahkan, ia sudah mampu dan memadai untuk menangkis segala fahaman karut-marut dan khurafat yang dibwa oleh fahaman-fahaman Jabariah, Qadariah dan Muktazilah. Kita dapat lihat bahawa sifat 20 ini mempunyai satu kuasa keramat yang mampu memelihara aqidah umat Islam dan dapat memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menangkis segala serangan-serangan syaitan dan konco-konconya untuk merosakkan aqidah, meragukan dan menanam perasaan was-was dalam hati-hati umat.

Di sinilah letaknya kekuatan sifat 20 yang diajar oleh Imam Abu Hassan Ashaari ini. Ia sangat berkesan untuk menanam aqidah dalam fikiran manusia secara mudah dan mempertahankan aqidah manusia itu dari serangan-serangan yang boleh merosakkannya. Sifat 20 ini sebenarnya telah berjaya mencapai maksud yang dikehendaki oleh Imam Abu Hassan Ashaari dengan cemerlang dan jayanya. Umat Islam keseluruhannya harus bersyukur dan berterima kasih atas usaha Imam Abu Hassan Ashaari ini.

Soal mendalami, menghayati dan menjiwai ketauhidan itu adalah satu perkara lain. Sifat 20 adalah asas. Ia bukan untuk penghayatan dan penjiwaan. Ia untuk menanam dan menyelamatkan aqidah. Mungkin untuk penghayatan dan penjiwaan ketauhidan ini, Allah akan hantar mujaddid yang lain kepada kita. Kita hanya perlu mencarinya.
BACA LAGI - Aqidah Ahli Sunnah

Hati Meyakini Allah SWT

Wednesday, September 16, 2009

Manusia diberi akal untuk berfikir..hati untuk merasai..
Kita diajar untuk percaya pada ketentuan Allah. Sebenarnya semua kesusahan dan kerosakan di muka bumi ini disebabkan kita tidak mahu berfikir tentang keWUJUDan dan keBESARan ALLAH.

Apa buktinya?

Buktinya kita perlu tanyakan pada diri kita sendiri.
Seandainya kita benar-benar merasai Allah itu WUJUD dan MELIHAT dan MENDENGAR nescaya kita tidak akan sudi untuk melakukan laranganNYA dan sentiasa senang melakukan suruhanNYA.

Semuanya bermula dengan iman iaitu yakin dan percaya akan KEESAAN ALLAH.
Cabarlah diri kita...apabila kita baca ayat-ayat ALLAH dan menghayati maknanya nescaya kita akan merasai suatu perasaan yang membenarkan ayat-ayat itu. Bacakanlah ayat-ayat ALLAH itu pada sesiapapun samada islam atau bukan islam. Jauh dalam diri mereka akan membenarkan ayat-ayat Allah.

Disinilah masalah yang perlu diambil PERHATIAN sebenarnya...

Tahukan anda mengapa setiap manusia itu akan terdetik dalam hati mereka ‘rasa’ untuk membenarkan ayat-ayat ALLAH? Inilah tanda-tanda kekuasaan ALLAH Maha Pencipta. Allah tidak menzalimi makhluknya dengan membiarkan mereka terbiar tanpa 'bekal' untuk mengenaliNYA.

Dalam diri setiap manusia itu ALLAH 'bekal'kan dengan ROH dan hakikat sebenarnya, ROH itu berasal dari ALLAH. Oleh sebab itulah setiap manusia yang di bacakan pada mereka ayat-ayat ALLAH akan merasakan kebenarannya...semua perasaan itu berpunca daripada ROH. Masya'Allah...

"Dan ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menjadikan manusia dari tanah liat yang kering, dari lumpur hitam sampai berbentuk. Dan setelah ia sempurna Ku buat dan Aku tiupkan di dalam tubuhnya akan roh Ku, maka hendaklah kamu semua tunduk merendahkan diri padanya. "
(AI-Hijr:28-29)

Bagaimana menghidupkan ROH?

ROH itu sebenarnya merintih dan tersiksa dengan dosa dan amalan buruk seseorang.
Seorang ahli maksiat itu, ROH mereka merintih kerana tidak dapat dekat dengan PENCIPTANYA. ROH itu hanya dapat di ubati dengan membacakan ayat-ayat ALLAH kepadanya.

Mengapa membaca ayat-ayat ALLAH tidak mampu membuat hati merasai keWUJUDan ALLAH?

Hakikatnya ROH itu mendengar dan menyintai PENCIPTANYA tetapi ia tidak akan mampu berinteraksi dengan TUHANNYA kerana di halangi oleh PENYAKIT HATI iaitu penyakit SOMBONG dan SYAK pada KEBENARAN.

[2.10] Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran). Apabila hati ada penyakit sombong ia akan menolak untuk membenarkan apa sahaja kebenaran yang di isyaratkan oleh AKAL.

[38.29] (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

Malah hati itulah tempat bersarangnya syaitan laknatullah yang sentiasa membisikkan pembohongan dan kejahatan bertujuan untuk terus melalaikan manusia dari merasai kehendak ROH.

Jadi, Apa penyelesaiannya?

Penyelesaiannya ialah buangkan sikap SYAK DAN SOMBONG supaya kebenaran ayat-ayat ALLAH itu mampu meresap ke dalam HATI.Seterusnya hati akan bersetuju dengan kehendak ROH iaitu membenarkan, me’rasa’i dan menikmati keWUJUDAN ALLAH S.W.T.
AWASILAH bisikan syaitan yang sentiasa menghasut hati. Gunakanlah anugerah AKAL yang ada pada semua manusia untuk berfikir dan mendidik HATI supaya membenarkan kehendak ROH untuk bermunajat dengan PENCIPTANYA.

Tanda-tanda orang beriman..

Iman itu adalah percaya pada ALLAH. Dengan percaya kita akan mampu untuk merasai KEWUJUDAN ALLAH. Apabila kita telah benar-benar memahami IMAN maka kita akan dapat lihat banyaknya hikmah di sebalik KALAMULLAH. Kita akan dapat merasai sebenar-benarnya tanda-tanda KEBESARAN ALLAH dimana-manapun kita berada dan apa-apapun yang kita lihat. Tanda-tandanya hanya dapat di’rasa’i oleh orang-orang yang berusaha berfikir dan mencari KEBENARAN.


KESIMPULANNYA.

Ceritalah apa jua masalahpun...PEMARAH, MALAS SOLAT, MULUT CELUPAR, HASAD DENGKI, TAKBUR, SOMBONG, MASALAH DUIT, MASALAH FAMILY, MASALAH NEGARA DAN APA JUA MASALAHPUN...apabila kita merasai KEWUJUDAN ALLAH yang sentiasa MENDENGAR dan MELIHAT, nescaya tiada apa masalah yang tidak dapat diselesaikan. Tidak perlu lagi memaksa diri untuk melakukan amar makruf nahi mungkar kerana HATI, ROH dan AKAL telah merasai kebahagiaan dan kemanisan hidup bersama PERTOLONGAN ALLAH S.W.T.

[2.4] Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). [2.5] Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
Mulakanlah dengan diri sendiri..kemudian keluarga dan ketahuilah sesungguhnya ALLAH dan orang-orang yang beriman itu tidak dapat dibohongi oleh mereka yang pura-pura beriman.

Seterusnya marilah kita baca dan hayati makna Ayat dan hadith berikut :

[2.8] Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.

[2.9] Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.

[2.10] Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).


Dalam sebuah hadits, digambarkan isi kandungan AL QURAN itu yang maksudnya sebagai berikut :

“Ali bin Abu Thalib r.a menceritakan bahawa dia mendengar Rasullullah s.a.w bersabda : “Nanti akan terjadi fitnah (kekacauan)”. Ali bertanya : “Apakah jalan keluar dari kekacauan itu ya Rasulullah?”. Nabi s.a.w menjawab : “Kitab Allah (Quran). Di dalamnya terdapat berita orang-orang sebelum dan sesudah kamu, hukum (peraturan) untuk menyelesaikan perselisihan di antara kamu. Quran itu perkataan yang tepat (berisi) bukan senda gurau (omong kosong). Siapa yang meninggalkan ajaran Quran, kerana takut kepada penguasa, nescaya orang itu akan dibinasakan Allah. Siapa yang mencari petunjuk selain dari Quran nescaya akan disesatkan Allah. Quran itu tali (hubungan yang teguh) dari Allah, pengajaran (peringatan) yang penuh hikmah, jalan yang lurus (benar). Kemauan tiada akan sesat apabila mengikutinya, lidah tidak akan keliru menyebut apabila menurutinya. Ahli ilmu tiada bosan untuk tetap mempelajarinya. Tiada usang kerana dibaca berulang-ulang dan keajaibannya tiada habis-habisnya. Ketika jin mendengar Quran, sampai mengucap : “Sesungguhnya kami mendengar Quran sangat mengagumkan, memimpin kepada kebenaran, lalu kami mempercayainya”. Siapa yang berkata menurut Quran, dia akan memperoleh pahala. Siapa yang menghukum menurut Quran, dia bersikap adil. Siapa yang memanggil kepada ajaran Quran, sesungguhnya dia dipimpin ke jalan yang lurus”.
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Hakim)


Apabila di bacakan AYAT-AYAT QURAN DAN MAKNANYA..

Jauh dalam hati akan terdetik sedikit rasa takut, syak, rimas, gelisah, nak berhenti dan banyak lagi perasaan negatif yang timbul. Perasaan itu adalah berpunca dari hati. Apabila banyak buat dosa maka hati akan mudah disuntik dengan bisikan-bisikan negatif terhadap ALLAH oleh syaitan yang di laknat.

Ada juga ketikanya dalam diri akan berasa tenang, lapang, bahagia dan banyak lagi kebaikan yang dapat dirasakan dalam diri. Perasaan itu timbul kerana ROH itu mendengar, menghayati dan mengakui kebenaran dan keindahan AL QURAN.

Anda perlu ‘membuang’ bisikan negatif dalam hati, kemudian me’rasa’i KEBESARAN dan KEAGONGAN ALLAH dengan ‘roh’ dalam diri anda. Apabila anda mampu melakukan ini maka anda akan merasai ERTI IMAN SEBENARNYA.

"Dan ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menjadikan manusia dari tanah liat yang kering, dari lumpur hitam sampai berbentuk. Dan setelah ia sempurna Ku buat dan Aku tiupkan di dalam tubuhnya akan roh Ku, maka hendaklah kamu semua tunduk merendahkan diri padanya. "
(AI-Hijr:28-29)

BerIKHTIARlah sebelum mengharap RAHMAT ALLAH.
ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan diri mereka sendiri yang mengubahnya.
Semoga bertemu keberkatan dan hidayah ALLAH.
Bersangka baiklah kepada ALLAH.
INSYA’ALLAH….
BACA LAGI - Hati Meyakini Allah SWT

Keris

Tuesday, September 15, 2009

Salam Ramadhan pembuka bicara...Assalamualikum muqaddimah yang mulia....

Keris adalah senjata warisan budaya orang Melayu yang berdaulat iaitu sejenis pakaian orang Melayu pada zaman silam terutamanya Raja-Raja Melayu, Pembesar Negeri, golongan bangsawan serta rakyat jelata. Keris mempunyai rahsia yang istimewa kerana keunikannya. Orang Melayu pada zaman dahulu khusunya pemerintah semestinya berkehendakan kekuatan, kehebatan dan kemuliaan supaya digeruni oleh musuh terutamanya pemerintah lain.

Menurut buku Rahsia Keris dan Senjata Warisan Melayu yang ditulis oleh Zakaria Abdullah (2007: 9), bagi orang Melayu pada zaman itu, khususnya kaum lelaki, jika tidak berkeris di pinggang dianggap orang yang paling rendah martabatnya disisi masyarakat kecuali para ulama dan para wali kerana mereka ini mempunyai kelebihan yang ganjil dan tinggi disisi Allah s.w.t. Mereka boleh menentang musuh dengan menggunakan kekeramatan dan hikmah, namun ada juga yang tidak ketinggalan memakai senjata. Antara sebab keris menjadi lambang kemegahan dan kekuatan kepada orang Melayu adalah kerana keris diperbuat daripada besi yang terpilih dan mempunyai petua tertentu. Mengikut cerita zaman dahulu, para pendekar meneroka mencari besi di tempat yang baik seperti di bukit dan gunung bertujuan menjadikan keris keramat dan berhikmah.
Pada zaman dahulu, setiap tempahan sesebilah keris itu dimulakan dengan ulikkan ataupun menjampi besinya pada waktu malam mengikut kaedah masa dan hari bulan yang tertentu. Ulikkan itu bertujuan untuk memasukkan segala amalan supaya besi itu lebih bermaya dan berhikmah. Pada keesokkan harinya, kaedah atau petua turun tangga yakni memulakan proses pembuatan dimulakan sekiranya tiada halangan. Namun jika ada aral melintang seperti tersepak sesuatu atau sebagainya, maka tukang itu tidak akan memulakan pekerjaannya dan akan menunggu masa yang sesuai pula untuk memulakan proses pembuatan keris. Apabila tiba masa yang sesuai, maka dengan penuh keyakinan serta mempunyai semangat yang baik, tukang besi akan memulakan pekerjaan menempanya.

Bagi generasi baru, tidak salah jika mengambil inisiatif untuk mengkaji dan menghargai bagaimanakah orang dahulu membuat sebilah senjata sebagai pakaiannya. Walaupun mereka tiada ilmu akademik yang tinggi, namun ilmu kaedah dan petuanya diamalkan dengan penuh yakin. Oleh sebab itulah setiap senjata pada masa dahulu mempunyai banyak hikmah dan keramat. Setelah selesai proses penempaan, tukang keris akan meneruskan dengan proses penyempuhanan besi. Ini bertujuan untuk menjamin kekuatan dan kekerasan mata keris supaya keris lebih mantap. Besi yang telah ditempa dalam dapur api akan dimasukkan ke dalam air dengan kadar yang segera. Ini bagi mempercepatkan proses percantuman molekul besi yang dicairkan dan ianya akan menjadi lebih keras dan kuat.

Pada kebiasaannya, tukang besi pada masa dahulu, mereka memakai pakaian yang khusus sebagai adat untuk menempa sesebilah keris. Umpamanya menempa keris diraja, mereka akan memakai pakaian serba kuning, jika menempa keris panglima atau hulubalang, mereka akan memakai pakaian serba hitam dan berbengkung merah, manakala untuk menempa keris bagi orang biasa, tukang besi akan memakai pakaian biasa sahaja. Tukang besi terdahulu amat menitikberatkan adat serta kaedah tertentu supaya keris yang dihasilkan bersesuaian dengan taraf orang yang menempahnya

Setiap bilah keris yang mengandungi besi campuran yang di panggil pamor atau besi sebatang kerana setiap jenis besi itu ada rahsia tersendiri seperti:

i. Besi waja yang mempunyai rahsia keras lagi tajam.
ii. Besi putih berwarna perak mempunyai rahsia kemudahan rezeki dan boleh menembusi kulit yang tebal.
iii. Besi tarung bari bulu rusa mempunyai rahsia berbisa lagi tajam.
iv. Besi kelipan miang berbintik mempunyai rahsia kedamaian dan boleh mengurangkan kepanasan api kebakaran.
v. Besi kuning keemasan mempunyai rahsia kemurahan rezeki, dihormati dan menembusi kulit yang tebal.

Setiap bilah keris jika mempunyai pamor (besi ramuan), ianya mempunyai rahsia tertentu kerana setiap bilah keris itu tuahnya ada pada pamor dari segi lahirnya.

Rahsia tukang besi terdahulu menempa keris mempunyai motif yang tertentu. Sebagai contoh, keris yang berlok bermotifkan seekor ular yang hendak mematuk mangsanya, manakala keris lurus pula bermotifkan huruf alif ataupun “sengat ikan pari” yang berbisa.
BACA LAGI - Keris