Koleksi
Hang Tuah – Antara Sejarah, Mitos atau Hikayat?
Siapa tidak kenal dengan nama Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu Melaka yang sifatnya ingin berbakti kepada Sultan Melaka dan terlalu menjunjung tinggi institusi kesultanan Raja Melaka.
Riwayat hidup Hang Tuah banyak diceritakan di dalam hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang sekitar abad ke-15. Hikayat Hang Tuah adalah karya kesusteraan Melayu yang cuba dipaparkan oleh pengarang tentang sifat kepahlawanan Hang Tuah bersama 4 teman karibnya. Banyak episod-episod yang dilalui oleh beliau bersama teman-teman karibnya dari mula cerita beliau dilahirkan sehinggalah berakhirnya zaman kegemilangan Melaka – ditawan Portugis atau Peringgi.
Kebiasaannya sesuatu hikayat yang dikarang bersifat kearah menaikkan semangat dan terdapat unsur fantasi yang wewujudkan pemikiran berterusan tentang cerita yang dikarang. Dalam konteks tersebut, Hikayat Hang Tuah tidak dinafikan dapat menaikkan semangat keperwiraan bangsa Melayu. Unsur fantasi yang diselitkan juga boleh dianggap mitos. Istilah mitos berasal dari perkataan Yunani ‘Muthos’ iaitu cerita. Walaupun nampak benar dan ditambah mitos, namun terdapat banyak versi tentang Hang Tuah yang masih dipertikaikan kesahihan sejarah kewujudan pahlawan Melaka ini.
“Tidak Hilang Melayu di Dunia” ungkapan Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah.
Asal-usul Hang Tuah menurut sejarah Melayu
Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu yang hidup pada masa pemerintahan Sultan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka bermula pada tahun 1400-1511). Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampong Sungai Duyong kira-kira dalam tahun 1444. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana.
Bagaimana Hang Tuah menjadi Laksamana – Hikayat Hang Tuah
Hang Tuah bersama empat orang kawannya – Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Hang Tuah telah jatuh cinta pada Melor, anak orang asli yang tinggal di Gunung Ledang dan menjadi pembantu Adiputra. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.
Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato’ Bendahara daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk. Dato’ Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana. Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan sehinggalah Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana.
Versi ‘Hikajat Hang Tuah’ – terbitan Balai Pustaka, Jakarta (Cetakan ke-3, 1956)
Kisah kepahlawan nusantara ini dihuraikan di dalam 24 bab secara panjang lebar. Dari catatan pengantar, buku Hikayat ini disalin dari salah satu naskah tulis tangan huruf Arab. Pada sampul bahagian dalam ada tertulis – “Inilah hikayat Hang Tuah yang amat setia kepada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebajikan kepada tuannya”.
Kisah dimulai dengan bab yang menguraikan asal-usul raja di Melaka atau Melayu. Terdapat seorang raja bernama Sang Pertala Dewa, yang akan mempunyai seorang anak dan dia akan menjadi raja di Bukit Seguntang. Keturunan-keturunan sang dewa inilah dengan segala kemuliaan yang dimiliki kemudian menjadi raja-raja di tanah Melayu.
Hang Mahmud telah mendengar khabar gembira tentang negeri Bintan, sudah mempunyai seorang raja, cucu Sang Pertala Dewa. Hang Mahmud pun bergegas mengajak isteri dan anaknya pindah ke sana. Di Bintan, Hang Tuah bertemu dan bersahabat dengan Hang Jebat, Hang Kesturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu. Kelima pemuda itu diceritakan selalu bersama-sama, seperti lima orang bersaudara.
Suatu hari, Hang Tuah mengusulkan pada keempat sahabatnya untuk pergi berlayar dan merantau bersama-sama. Di tengah pelayaran, mereka bertemu dan menundukkan tiga perahu yang ternyata adalah musuh Bintan dari Siantan. Kawanan tersebut tak lain adalah kaki tangan Patih Gajah Mada dari Majapahit yang ingin memperluas kekuasaan dengan merompak di Tanah Palembang. Akhirnya, lima sekawan itu diangkat menjadi abdi salah seorang pemimpin di negeri Bintan, yang dipanggil Bendahara Paduka Raja. Dari sinilah kisah perjuangan Hang Tuah yang akhirnya bergelar laksamana.
Seorang ahli sastera, Sir Richard Windstedt, pernah berkata bahawa karya sastra klasik seperti Hikayat Hang Tuah ini serupa dengan syair-syair kisah kepahlawanan yang banyak dihasilkan di Jawa pada abad ke-11. Karya-karya ini dikatakan mengubah sejarah menjadi mitos, atau sebaliknya mengubah mitos menjadi sejarah. Tokoh Hang Tuah sendiri pun tidak dapat dipastikan sebagai tokoh mitos atau sejarah, meskipun dalam sejarah Melayu (Malay annals) disebutkan Hang Tuah mati pada abad ke-15.
Kesahihan dan kebenaran
Persoalannya adalah sejauh manakah kesahihan cerita Hang Tuah dan Sultan Melaka didalam Hikayat, buku sejarah Melayu serta teater bangsawan. Adakah Hang Tuah dan Kesultanan Melayu Melaka wujud atau mitos semata-mata? Buktinya?
Ini persoalan besar yang ditimbulkan ramai pengkaji sejarah tempatan sama ada di kalangan rakyat biasa atau tokoh akademik sedangkan bukti nyata atau fizikal tidak menyokong kemegahan zaman kesultanan yang diceritakan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah – antara persoalan yang ditimbulkan oleh saudara Yusri Abdul Malek – harian metro di dalam sebuah blog – Hang Tuah, sejarah atau lagenda?.
Tambah beliau lagi, di Melaka sahaja, yang menjadi lokasi zaman kegemilangan Sultan Melaka pada kurun ke-13 dan 14, tiada satu kubur atau makam sultan yang memerintah Melaka wujud begitu juga dengan beberapa pembesar atau orang kenamaan lain yang terkenal. Begitu juga ketiadaan monumen lain seperti tapak asal istana sultan dan barangan kebesarannya yang penting sebagai bukti sejarah. Apa yang ada di Melaka hanya peninggalan sejarah penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sedangkan tinggalan sejarah kesultanan Melayu Melaka boleh dikatakan tiada langsung.
Jawapan – Portugis setelah menawan Melaka, telah mengarahkan pembinaan kota/kubu (A Famosa). Tembok kubu ini dibina dari batu-batu masjid-masjid yang telah dimusnahkan, tembok/kubu kota Melaka serta dari makan-makam diraja. Itulah sebabnya tiada catatan kewujudan makam Sultan/Pembesar di Melaka.
Bukti atau tinggalan sejarah penting dalam menjawab persoalan serta teori yang pelbagai selaras dengan sejarah dan hikayat. Walaupun Hikayat Hang Tuah mengandungi unsur-unsur fantasi yang menaikkan semangat bangsa, namun karangan hikayat harus berlandaskan cerita atau sejarah yang ada. Penulis yakin bahawa banyak versi cerita adalah betul, cuma ditokok tambah buat menyedapkan jalan cerita dan kesannya.
Polemik lain yang membawa kepada teori Hang Tuah bukan Melayu, malah berbangsa Cina dan ditambah dengan sokongan fakta logik sejarah. Kekeliruan sedemikian wajib dikaji dan dihuraikan agar sejarah Hang Tuah dipelihara kesahihannya dan keasliannya.
Menurut sumber dari berita harian pula, walaupun Hang Tuah disebut dalam Hikayat Hang Tuah yang tidak diketahui penulisnya dan juga dalam kitab Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang, laksamana masyhur Melaka ini dianggap sekadar watak ciptaan. Ceritanya juga dianggap sebagai modal penglipur lara untuk menghiburkan waktu senggang rakyat sejak dahulukala.
Antara hujah yang masih didebatkan adalah mengenai Sejarah Melayu itu yang ditulis kira-kira sekurun selepas kejatuhan empayar Melaka ke tangan Portugis. Tun Seri Lanang sendiri pun menulis berdasarkan cerita yang disampaikan leluhur dan kelompok masyarakat sebelumnya.
Segolongan ahli sejarah dan cendekiawan hari ini berpendapat bahawa naskhah yang menyentuh tentang Hang Tuah itu bukanlah histografi yang tepat. Lantaran digarap dalam pelbagai versi, menjadi sukar untuk para pengkaji menemui kata setuju terhadap pembuktian kewujudannya.
Perigi Hang Tuah di Melaka juga diragui kesahihannya. Pendapat mengatakan bahawa perigi tersebut dinamakan perigi membawa tuah dan bukan perigi Hang Tuah. Ini disebabkan perigi tersebut digunakan sebagai air cucian kepada kenderaan berhias yang masuk bertanding dan membawa tuah serta menang.
Menurut sumber lain, antara tinggalan sejarah Melaka adalah makam Sultan Ali di Kg Umbai, makam Sultan Hussein di Tengkera, makam Sultan Alaudin Ri’ayat Shah di Pagoh serta makam Sultan Iskandar Shah di Fort Canning, Singapura. Menurut catatan Inggeris dan Portugis, tapak istana Melaka dan Sultan Pahang terletak di atas Bukit St. Paul telah dibakar oleh Portugis atau Peringgi semasa mereka menakluk Melaka.
Pembaca keliru? Sultan Alaudin Ri’ayat Shah di Pagoh?
Sultan Mahmud Shah naik takhta pada tahun 1488, menggantikan ayahandanya Sultan Alauddin Ri’ayat Shah yang mangkat muda. Ini bermakna makam ayahandanya sepatutnya berada di Melaka. Walhal Melaka pada ketika itu masih aman dan tidak diganggu oleh kedatangan Portugis. Portugis hanya datang dan menawan Melaka pada tahun 1501. Bagaimana makam baginda berada di Pagoh? Pagoh ialah tempat akhir menetapnya Sultan Mahmud Shah. Mungkin Sultan Mahmud Shah mengarahkan makam ayahandanya dipindahkan ke sana? Tidak mungkin dan makam itu adalah sebenarnya Sultan Alauddin Ri’ayat Shah II..
Ketika hujah dan fakta yang menyiasat ke arah sejarah Hang Tuah dan hubungkaitnya dengan kesultanan Melaka, timbul pendedahan yang dibuat oleh En. Ismail Mohamed Yaacob, warga Singapura yang mendakwa dia dari keturunan Hang Tuah. Apabila membacanya, penulis menarik nafas lega kerana penulis mengharapkan bahawa Hang Tuah benar-benar wujud dan bukan dongeng atau watak cerita. Dalam blognya, En Ismail menceritakan tentang manuskrip asal Hikayat Hang Tuah yang berada dalam simpanan Perpustakaan Negara Malaysia.
Menurut sumber dari blog PGX, Ismail berkata, semua keturunannya tinggal di Kampung Sungai Duyong, Melaka sejak zaman-berzaman tetapi pada sekitar 1940-an, bapanya, Muhamad Yaacob Abdullah terpaksa melarikan diri ke Singapura selepas diburu komunis.
Menurutnya lagi, disebabkan sayangkan generasinya, dia sendiri menjalankan kajian terperinci berhubung salasilah dan susur-galur Hang Tuah bagi membuktikan Hang Tuah benar-benar hidup ketika zaman kesultanan Melayu Melaka. “Saya akui terdapat 11 versi cerita Laksamana Hang Tuah yang berbeza disebabkan tiada pihak mahu mengkajinya secara mendalam.
“Saya juga mempunyai bukti Hang Tuah mati di Palembang kerana sakit tua. “Kubur Hang Tuah yang ada di Tanjung Kling sekarang bukannya kubur Hang Tuah tetapi milik seorang ulama Islam berasal dari Gujerat, India. “Semua ini diceritakan dari generasi ke generasi dan ia fakta sejarah.
Jika benar dalam Sejarah Melayu mengatakan Hang Tuah mati di Tanjung Kling, kenapa penduduk sekitar yang tinggal di situ menafikan fakta itu. “Penduduk yang tinggal di Tanjung Kling sejak turun-temurun sudah pasti tahu kubur siapa yang ada di kampung mereka berdasarkan cerita dari mulut ke mulut,” katanya.
Ismail juga mendakwa mempunyai bukti bergambar bahawa makam Hang Tuah ada di Palembang. Begitu juga makam Hang Lekir, Lekiu dan Kasturi yang didakwa masih ada di Bintan, Kepulauan Riau.
Harapan penulis agar fakta sejarah yang berkait dengan Hang Tuah dan kesultanan Melaka dapat didedahkan agar masyarakat Melayu tahu asal-usul sejarah agung pahlawan dan kesultanan Melayu Melaka.
Maklumat lain yang ingin anda fikirkan dan renungkan – Misteri Nusantara.
Maklumat diatas hanya sekadar berkongsi dan segala kekeliruan dari fakta atau bukti hanya mampu dijawab dalam perbincangan dan kajian menyeluruh sejarah Hang Tuah.
sumberMas kahwin untuk miliki keris lama
MEMILIKI keris lama sama ada diwarisi secara turun-temurun atau pindah hak milik masih diamalkan di negara ini sebagai salah satu adat masyarakat Melayu.
Bagi peminat dan pengumpul keris lama yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, Dzafar Hanafi, disebabkan sukar mencari tukang yang boleh menempa keris, dia lebih suka membeli senjata berkenaan yang dijual di negara ini dan beberapa negara jiran.
Dzafar yang merupakan pengurus syarikat Pusaka Purba Trading memberitahu, dalam urusan jual beli keris lama, dia lebih mementingkan sifat jujur serta mengelak sebarang perkara karut.
Terangnya, jika seseorang menginginkan keris untuk kegunaan diri sendiri, senjata berkenaan mesti mempunyai padanan yang sama dengan pemilik baru itu.
Menurut Dzafar yang berkecimpung dengan senjata lama terutama keris sejak berusia 15 tahun, padanan itu bagi mengelak pemilik baru mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan keris tertentu kerana setiap buatannya diserasikan dengan orang tertentu.
Rahsia
“Keris lama dibuat berdasarkan kesesuaian kejadian yang ada pada diri kita. Ada orang jenis panas baran dan ada juga jenis sabar.
“Sebagai contoh seseorang yang panas baran, dia tak boleh pakai keris yang dibuat menggunakan material panas. Ia perlu seimbang,” katanya kepada Jurnal.
Jelasnya yang kini berusia 34 tahun, antara pantang larang dan adat dalam urusan jual-beli senjata lama adalah mengelak unsur penipuan serta memiliki barang curi.
Terangnya, jika seseorang terlibat dengan perkara yang tidak baik, individu terbabit akan mendapat susah kerana besi itu mempunyai pelengkap dan rahsia.
“Orang sekarang hanya mengatakan sesuatu upacara itu hanyalah adat orang terdahulu dan warisan tanpa mendengar cerita daripada orang tua-tua mengenai sesuatu upacara dilakukan.
“Sebagai contoh, orang dahulu memandikan keris atau mencucinya menggunakan bunga, limau dan kemenyan sebagai pewangi kerana ketika itu tiada sabun, bukan disebabkan upacara karut,” katanya.
Dia yang menghasilkan tesis mengenai keris semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, penukaran hak milik atau proses membeli keris dengannya agak berbeza.
Sebelum menjual sesuatu keris, Dzafar akan meminta nama pembeli bersama nama ibunya dan diikuti solat hajat.
Terangnya lagi, tujuan solat hajat adalah agar perkara yang dilakukan itu tidak mendahului Allah yang boleh menyebabkan kita lalai.
Tambahnya, pembeli juga dikehendaki membayar ‘mas kahwin’ yang sesuai sebagai syarat pertukaran hak milik keris itu.
“Saya bukan mahu mengaut kekayaan, tetapi apabila kita memberitahu perkara itu ramai juga yang marah sebab penjual lain tidak buat begitu.
“Sebenarnya, urusan duit itu nombor dua. Yang pentingnya saya seperti seorang pemegang amanah dan sebagai orang tengah bagi menyampaikan keris itu kepada orang yang berhak,” ujarnya.
Menurutnya, keris lama berbeza daripada keris yang dibuat sekarang kerana orang tertentu boleh merasai getaran dan haba yang ada pada keris berkenaan.
Rebutan Malah, bukan semua orang mampu menyimpan keris pusaka kerana ada juga kes pemilik mendakwa almari tempat simpanan keris mereka sering bergegar malah ada juga yang mengalami demam.
Dalam pada itu, Dzafar yang mempunyai beratus koleksi keris lama memberitahu, antara koleksi istimewa dalam simpanannya adalah keris tujuh beradik, lima beradik dan tiga beradik dengan saiz yang kecil.
Malah ujarnya, daripada koleksi tersebut, keris Emas Lok Lapan Akut Terbalik yang merupakan anak keris bagi sebilah keris dinamakan Keris Kijang Emas Kijang Utara Kijang Putih Kijang Bongsu dianggap istimewa kerana menjadi rebutan ramai.
Jelasnya, keris emas itu merupakan warisan turun-temurun yang berasal dari Kelantan. Bagi menambahkan kekuatannya, seketul besi khas ditempa di bahagian bilahnya.
Ujarnya, senjata kecil tersebut merupakan keris pakaian bertujuan sebagai pendinding bagi mengelak disihir dan sebagainya.
“Di tubuh kita ini sekurang-kurangnya mesti ada besi sebagai pendinding. Kita nak bawa keris yang besar khuatir polis tangkap pula.
“Namun, setiap tujuan itu perlulah ‘dilapik’ dengan al-Quran dengan anggapan setiap benda itu hanyalah perantara kerana segalanya datangnya daripada Allah,” katanya.
Sumber